Pages

Monday, June 13, 2011

Lapangkanlah Hatimu, Seluas Tasik Membiru


Seorang remaja datang dalam derai air mata yang memenuhi pelupuk matanya. Dalam badan yang lemah-lesu, mencari kekuatan disebalik kesedihan yang dihadapi. Berjalan mencari sumber spiritual untuk membakar lemak-lemak kemalasan. Dicari seorang insan yang mampu menghilangkan segala kepenatan yang menjalar ke hati itu.

Ditakdirkan, bertemulah remaja itu dengan seorang pak cik yang agak tua. Dengan janggut yang memutih, rambut yang separuh botak, remaja itu mendekati si lelaki tua ini. Dia duduk di sampingnya. Penat lagaknya.

Si pakcik tua itu berpaling dan menatap wajahnya, "Nak, ingin berkongsi sesuatu dengan pakcik?" Dengan mengukir satu senyuman yang menyentuh hati, si remaja tadi tanpa rasa segan menceritakan masalah dan dugaan yang ia hadapi. Lelaki tua mendengarnya tanpa berbicara.

Seusai sahaja si remaja itu mengadu, lelaki tua itu memegang tangan remaja itu dan mengajaknya masuk ke dalam rumah kecil miliknya, barangkali, 100 meter dari tempat mereka berbicara. Dalam rumah yang serba sederhana itu, si lelaki tua mempersilakan remaja itu bersila di ruang tamu. Dia menuju ke dapur mengambil sesuatu.

Sekembalinya lelaki tua itu ke tempat remaja itu, dia membawa sebatang sudu, sebotol garam dan segelas air penuh. Remaja itu mengangkat kening kehairanan. Menunggu-nunggu apa yang hendak dilakukan si lelaki misteri itu.

"Nak, ambilkan garam satu sudu, dan masukkan ia kedalam cawan air ini."

Si remaja tadi melakukan apa yang disuruh tanpa berbantah.

"Sekarang, minumlah air ini." Pinta lelaki tua itu.

Si remaja itu kehairanan, bercampur dengan gusar dihati. "Pak cik ni, biar betul? Suruh aku minum air garam ni?" Dia bermonolog keseorangan. Tapi, ia tidak meluahkannya, malahan dia tetap melakukan apa yang dipinta oleh si lelaki tua tadi.

Selepas mulutnya terkena air garam tadi, terus dia meludah ke tepi. "Phuit... Masin! Masin la pakcik..." Si lelaki tua itu hanya tersenyum, tanpa sepatah bicara melihat gelagat si remaja tadi.

"Sekarang, bawa botol garam itu dengan sudu sekali. Ikut pakcik. Pakcik ingin bawa kamu ke satu tempat di puncak bukit sana." Kata pakcik itu, sambil menunjuk ke arah puncak bukit melalui tingkap kayu yang tersusun rapi itu.

Mereka berdua berjalan kaki menuju ke puncak bukit itu. Sepanjang perjalanan, si remaja hanya diam sahaja. Dia kagum dan teruja melihat permandangan yang super indah itu. Sambil menikmati keindahan alam dari atas dunia itu, sempat sekali-sekali dia mengerling mata ke arah si lelaki misteri itu. Kadang terdetik dalam hatinya, "Kemanalah pakcik ni nak bawa aku?"

Setibanya mereka di puncak, remaja tadi terpegun. Melihat satu tasik yang membiru dan jernih, menghiasi permandangan sekitarnya. "Mari kita duduk berhampiran dengan tasik itu." Kata lelaki tua itu setelah sekian lama membisu.

Remaja itu menurut perintah. Dia mengikut belakang lelaki tua itu, dan duduk bersila di sebelahnya, berhampiran dengan tasik tersebut.

"Sekarang, keluarkan garam dan sudu yang pakcik minta kamu bawakan tadi." Lelaki itu pinta. Lantas, remaja itu mengeluarkan dari beg galasnya 2 perkara yang diminta oleh lelaki itu.

"Ambilkan sesudu garam, dan taburkan ke dalam tasik ini. Kemudian, hiruplah airnya." Arah lelaki tua tadi. Remaja itu, tanpa berbantah, menuruti arahannya. Dia mengambil sesudu garam, dan menaburkannya kedalam tasik itu. Kemudian, dia mengambil setelapak tangan air tasik itu, dan meminumnya.

"Ahhh! Segar sekali airnya pakcik!" Remaja itu bersuara semangat! Lelaki tua itu mengukir senyuman pada bibirnya. Remaja itu semakin tertarik dengan lelaki misteri itu. Dia memerhatikannya. Dia pikir, lelaki tua itu ingin mengatakan sesuatu.

"Nak, begitulah kehidupan. Jika kita meletakkan masalah ke dalam hati yang sempit, maka kita akan merasakan penderitaan yang amat sangat. Maka lapangkanlah hatimu, seluas tasik ini, agar masalah  yang kamu timpa, tidak terasa sakitnya, malahan yang dirasakan hanyalah kesegaran airnya. Percayalah, Tuhan itu tidak menzalimimu. Dia mempersiapkan kamu untuk menjadi sesuatu yang luar biasa, dan sebagai persiapan untukmu sebelum kamu bertemu dengan-Nya. Ketahuilah, Allah tidak memberati sesuatu melainkan yang sesuai dengannya. Bersabarlah, anakku."


Assalamu'alaikum.
"Always remember ALLAH"

4 yang kongsi idea:

Ahmad Isyraf Imrani said...

Sentiasalah berlapang dada :)

Al-Fakir Hamidi said...

insya-Allah.

terima kasih ya Isyraf...

rusyida said...

Saya suka cerita ni. Menjadi inspirasi apabila di beri ujian oleh-Nya.Semoga perkongsian cerita ini menambahkan keimanan kita pada-Nya:)

Al-Fakir Hamidi said...

insya-Allah.

*senyum
=)

There was an error in this gadget