Pages

Wednesday, September 18, 2013

Berjumpa di: Bersinarlah!

Bismillah...

Mencari sinar baru,
di sini...


InsyaAllah.
"Saya adalah pemuji Allah"

Monday, June 24, 2013

Silence?


Rupanya diam,
tidak berbuat,
dan tidak menulis,
memberi kesan yang negatif.

Teringin,
mula bertatih menulis semula.

Biar otak dan hati,
sentiasa 'bergerak'.

InsyaAllah.

"Saya adalah pemuji Allah"

Monday, March 18, 2013

Fikrah: Ihfazillah Yahfazka

Assalamu'alaikum.


Hadis ini,
selalu bermain di telinga kita.

Kekadang,
kita melafazkan kepada teman seperjuangan.

Kekadang,
ia menjadi bekalan kekuatan untuk kita.

Kekadang,
kita mendengar orang lain menasihati kita dengan kalimat ini.

Sehingga kekadang,
kita begitu teruja dan bersemangat waja!

Dan terkadang,
kita merasa jemu dan bosan dengan kalimat ini,
dan terlepas cakap: "Itu aku tahu lah!"

Astagfirullah...

------------------------------


Apa bila disebut: ihfazillah, yahfazka.
Jagalah Allah, Allah akan menjagamu.

Dan yang datang pada minda 'separuh sedar' kita, 
amalan-amalan yang bersifat sufistik.

Dengan solat-solat nawafil,
Puasa sunat Isnin Khamis,
Tilawah Al-Qur'an sejuz sehari,
Qiamullail dikala manusia sedang nyenyak.
Dan macam-macam.

Dan disebabkan itu,
kita menjadi jemu dan malas,
untuk 'menjaga' Allah,
dengan alasan,
iman aku lemah dan aku tidak ada kekuatan untuk itu.

Habis, bagaimana aku ingin 'menjaga' Allah?
Sedangkan untuk buat itu dan ini,
aku amat lemah disebabkan kelemahan iman aku.

Akhirnya,
kalimat ihfazillah yahfazka menjadi satu kalimat,
yang tidak memberkas dalam hati dan jiwa nurani.

-------------------------------


Para pembaca,
ikhwah dan akhwat,
sister dan brothers tercinta.

Adakah anda juga mengalami hal yang sama?

Atau anda ada pandangan yang berbeza,
tentang ihfazillah yahfazka ini?

------------------------------------

Saya pernah terbaca tentang sikap ahli sufi yang sebenar,
yang pernah ditulis oleh Ustaz Pahrol Mohamad Juoi,
dalam blognya, genta-rasa.com.

Ustaz mengatakan bahawa ahli sufi yang paling hebat adalah Rasulullah!
Diikuti oleh para sahabat seperti Abu Bakar, Umar dan lain-lain.
Dan sikap mereka ini,
mempunyai kelainan dari so-called ahli sufi hari ini,
yang hanya mahu mengasingkan diri dari dunia dan manusia,
dalam rangka menyucikan diri dan bertaqarrub kepada Allah.

Apa bezanya?

Dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah,
Rasulullah dan para sahabat bukan sahaja bersimpuh berzikir di masjid,
tetapi mereka juga adalah teladan sebagai seorang bapa,
sebagai seorang pemimpin di medan perang,
mereka mengangkat pedang dan tombak,
melepaskan anak-anak panah yang berterbangan di udara,
mereka juga menghafaz dan menulis,
dan bersemangat berkongsi ilmu di kitab-kitab dan dada,
juga melakukan amar ma'ruf dan nahi mungkar di tengah masyarakat.

Mereka tidak beribadah kepada Allah,
semata-mata dengan cara beruzlah 24 jam di gua,
atau 'bertapa' di puncak gunung atau tepi laut.

Hidup mereka,
amat bermakna untuk diri mereka,
dan buat orang-orang sekeliling.

Nah,
itu dia ringkasan yang saya konklusikan,
dari tulisan ustaz Pahrol Mohamad Juoi.

Terima kasih ustaz,
atas pencerahan ini!

--------------------------------


Dan anda bertanya:
"Apa kaitan cerita di atas dengan topik kita tentang ihfazillah?"

Saya jawab:
Sabar dulu adik sayang. ^_^

Baik.
Sekarang saya akan berkongsi,
sebagai satu perenungan untuk kita bersama.

Apakah yang saya faham,
tentang ihfazillah yahfazka itu.

Pertama,
ingin saya menampilkan terjemahan beberapa ayat Allah.
Semoga terinspirasi.

"Sesungguhnya telah berjaya orang yang beriman. [1] (Iaitu) orang yang khusyuk dalam solatnya. [2] Dan orang yang menjauhkan diri daripada yang sia-sia. [3] Dan orang yang menunaikan zakat. [4] Dan orang yang menjaga kemaluannya. [5] Kecuali terhadap isterinya atau hambanya; maka tiadalah tercela. [6] Sesiapa mencari selain yang demikian itu, maka merekalah orang yang melampaui batas. [7] Dan orang yang memelihara amanah dan janjinya. [8] Dan orang yang memelihara solatnya. [9] Mereka itulah yang akan mewarisi, [10] Yang akan mewarisi syurga Firdaus.  Mereka kekal di dalamnya. [11]

[Al-Mu'minun, 23: 1-11]

Ya.
Petikan dari surah Al-Mu'minun.

Dalamnya,
terdapat beberapa ciri orang yang berjaya.

Dan anda tahu siapakah sebenarnya orang yang berjaya?

Mereka adalah orang yang mendapat pertolongan daripada Allah!
Tanpa pertolongan dan bantuan daripada Allah,
tidak akan ada orang yang akan berjaya!

Dan apakah ciri-ciri orang yang mendapat pertolongan Allah?
Sudah diterangkan oleh Allah sendiri,
dalam surah ini!

Maka,
anda bertanya lagi: "Jadi?"

------------------------------------


Melakukan amalan-amalan sufistik,
adalah sebahagian daripada ihfazillah.

Sebenarnya,
ihfazillah (Menjaga Allah) tidak sekadar amalan-amalan ritual ini.

Tidak cukup dengan solat-solat nawafil,
dengan puasa-puasa sunat,
dengan mentilawah Al-Qur'an,
dengan berqiamullail di hujung malam.

Tidak!

Tetapi,
ihfazillah juga merangkumi kehidupan kita,
samada berlandaskan ajaran Syariat yang benar,
atau hanya sekadar mengikut hawa nafsu serakah!

Ihfazillah,
padanya terkandung juga "Dan orang yang menjauhkan diri daripada yang sia-sia."
Mereka mempunyai sistem penjagaan masa yang baik,
menyibukkan diri dengan hal-hal bermanfaat,
dalam rangka menjauhi hal yang sia-sia,
menepati waktu dalam urusannya,
dan tidak tertangguh-tangguh dalam pekerjaannya,
samada dia berseorangan,
atau dia beramai-ramai! 

Ihfazillah,
juga mempunyai makna "Dan orang yang menunaikan zakat."
Mereka tahu kelebihan yang tersangat besar dalam menunaikan zakat.
Maka, mereka menabung,
mereka tidak membazir,
mereka berjimat-cermat,
mereka tidak suka meminta,
malahan mereka bersedia untuk memberi,
mereka tidak kedekut,
dan mereka tahu bahawa wang itu bukan miliknya,
tetapi ia adalah pemberian dari Tuhannya.
Dan mereka bersiap siaga,
suatu hari nanti,
aku akan menunaikan zakat!
Aku.... Mesti mempunyai wang!

Ihfazillah,
padanya juga mempunyai erti "Dan orang yang menjaga kemaluannya."
Mereka menjaga pandangan mata,
mereka tidak memandang wanita sebarangan,
apatah lagi bersembang dan bergelak tawa,
dan menjauhi wanita-wanita bukan mahram,
kerana mereka tahu bahawa mereka lemah,
hati mereka mudah tergoda dan terlalai,
oleh itu mereka berwaspada,
bukannya membenci,
mereka hanya mahu,
pandangan mereka suci,
dengan tidak memandang hal-hal yang jelek,
kerana mereka sedar,
Allah tahu apa yang mereka lakukan dan pandang!

Ihfazillah,
juga bermaksud "Dan orang yang memelihara amanah dan janjinya."
Mereka diberi amanah,
suka atau tidak,
mereka menjaga amanah itu sebaik-baiknya,
kerana mereka tahu,
bahawa manusia tidak akan dibebani sesuatu melebihi kemampuannya,
dan mereka sedar,
janji-janji yang mereka buat,
harus dilangsaikan dan ditunaikan,
kerana mereka akan ditanya,
dihadapan Allah kelak.

Dan ihfazillah,
boleh jadi ia bermakna "Dan orang yang memelihara solatnya."
Mereka menjaga ibadahnya,
dengan mengetahui cara melakukannya,
sepertiamana yang Nabi SAW lakukan,
mereka lakukan dengan penuh kesedaran,
oleh itu mereka tahu bahawa itu memerlukan ilmu,
maka mereka mencari ilmu sana sini,
bagi menambah baik mutu ibadah mereka,
mereka mahu,
ibadah mereka benar-benar diterima Allah!

-----------------------------


Jadi,
dengan elemen-elemen tersebut,
ditambah dengan yang paling penting,
yakni "orang yang khusyuk dalam solatnya."
sebenarnya ihfazillah itu mencakupi kehidupan kita seluruhnya!

Dan kerana itu,
untuk yahfazka (Allah menjagamu),
tidak cukup hanya dengan pengertian solat khusyuk,
dan ibadah sunat yang banyak dan pelbagai,
tapi pengurusan masanya sangat teruk,
dan perhubungan sesama manusia sangat jijik.

Supaya yahfazka,
kita hendaklah terlebih dahulu ihfazillah,
dengan segala macam aspek,
yang telah dinukilkan.
Dan apabila semua ciri-ciri itu lengkap,
maka Allah kata:
Mereka itulah yang akan mewarisi, [10] Yang akan mewarisi syurga Firdaus.  Mereka kekal di dalamnya. [11]

Allahu Akbar!

--------------------------------


Orang yang lemah dan kerdil,
melihat Islam dari ruang yang kecil.

Maka,
mereka kepenatan untuk ihfazillah,
dan akhirnya mencari sesuatu yang lain,
mungkin dari dunia Barat,
atau idea Sosialime.

Kerana mereka ingat,
ihfazillah itu terbatas pada satu bidang sahaja,
sehingga aspek-aspek kehidupan lain,
mereka abaikan.

Akhirnya,
hidup mereka tidak tenang,
kerana menganggap ada benda yang lebih besar,
daripada Islam itu sendiri,
dan lebih tinggi dan agung,
daripada ihfazillah.

Astaghfirullah.

-----------------------------

Akhir kata dari saya,
ihfazillah yahfazka.

Dan nasihat terakhir buat bersama:
Tidak semestinya apabila kita 'menjaga Allah', masalah kita akan hilang secara tiba-tiba. Tetapi, yakinlah dengan 'menjaga Allah', hati kita akan tenang walau keliling pinggang kita penuh dengan masalah. Dan ketenangan hati itulah, yang kita cari! Kan?


Assalamu'alaikum.

"Saya adalah pemuji Allah"

Monday, March 4, 2013

Cita-Cita Si Dia

Assalamu'alaikum.


Orang besar, selalu bercita-cita besar, dan luar biasa!

Apa cita-cita akh?

"Dalam masa empat tahun, sebelum aku keluar dari UIA ini, aku berharap untuk melihat saf solat Subuh di masjid ini mencapai sebanyak 10 saf. Dan akulah pencetusnya!"

Teriak dia, dengan penuh keazaman!

Assalamu'alaikum.
"Saya adalah pemuji Allah"

Wednesday, February 20, 2013

Bisikan Hati: Persoalan, Jawapan, Diam, dan?

Assalamu'alaikum.

Seorang insan yang penuh dengan cita-cita dan matlamat. Matlamat terbesar ialah mencapai KeRedaan ALLAH s.w.t. Dahulunya seorang yang mementingkan duniawi. Pelbagai peristiwa dan halangan hidup telah ditempuhi. Ada yang berjaya, ada yang gagal. Semenjak dua ini, barulah penulis tersedar dari lamunan mimpi. Dengan Hidayah ALLAH dan BimbinganNya, penulis dapat melangkah dengan lebih baik dalam kehidupan ini daripada kehidupan penulis yang lampau. Walau bagaimanapun, sentiasa berharap akan pertolongan ALLAH dalam melakukan sesuatu dan memohon kemaafan atas setiap kesilapan dan salah yang dilakukan. Kini, penulis sedang berjalan mencari kebenaran. Kebenaran yang terselindung di sebalik kebatilan. Dan InsyaALLAH, kebenaran ini akan muncul suatu hari nanti. Semoga ALLAH merahmati kita semua dan mereka yang berusaha dalam menegakkan agama-Nya dan mereka yang mencari kebenaran. Assalamualaikum.

-------------------------------------------

Bermulanya satu kekeliruan

Masih ingat,
ketika masih kecil,
saya mempersoalkan banyak hal.

Sehingga ramai yang menjauh,
kerana tidak menyukainya.
Akhirnya saya mendiamkan diri,
memandang manusia dari jauh.

Banyak persoalan yang tidak terungkai.
Tetap terpendam dalam sanubari hati dan minda.

Akhirnya,
otak menjadi serabut,
dan hati tidak tenteram.

Hari-hari dirasakan berat,
siang bergerak begitu lambat,
dan malam merangkak sangat perlahan.

Entah apa yang saya tunggukan.
Putaran siang dan malam sama sahaja.
Hanya menunggu detik-detik 'itu',
detik pertemuan dengan-Nya...

"Hanya sahaja aku seorang Islam,
maka aku bertahan hingga hari ini..."
Saya bermonolog bersendirian.

-----------------------

Dunia yang penuh dengan complexity

Banyak persoalan yang bermain di kepala,
dan kebanyakkan tidak terjawab.

Penciptaan manusia...

Kenapa perlu aku hidup?

Kenapa perlu aku hanya beribadah kepada Allah?

Apa fungsi belajar? Setakat cari pekerjaan yang baik? Kemudian apa?

Tiada, Lahir, Hidup, Mati, kemudian?

Ada manusia yang pelbagai, kenapa tidak disatukan semua manusia, mempunyai satu pandangan sahaja? Maka, tidak ada lagi permusuhan dan kebencian...

Apa bukti wujudnya Allah? Apa itu iman? Benarkah dunia ini diciptakan? Atau ia wujud semula jadi? Jika semula jadi, bagaimanakah keadaan dunia sebelum kewujudan Nabi Adam? Atau kalau subjek Sejarah, apakah yang ada sebelum zaman Batu?

Kalau dunia ini diciptakan, bilakah waktunya?

Dan macam-macam lagi... Yang membuat hati tidak tenteram...

--------------------------

Persoalan harus dijawab, moga menenangkan hati!

Persoalan-persoalan ini semakin lama semakin rumit,
malahan wujud lagi persoalan yang lebih aneh,
yang menyebabkan diri semakin tidak terdaya...

Maka,
saya cuba 'menjauh' dari persoalan-persoalan ini,
dan memberi perhatian pada ilmu Matematik,
yang memang menjadi satu minat buat saya.

Alhamdulillah,
ia mengurangkan 'kesengsaraan' yang dihadapi.
Namun, persoalan-persoalan ini kadang-kadang masih menghantui.

Dan saya hanya diam,
kerana tiada teman untuk berbicara.

-----------------------------

Kawan dan Musuh.

Umur meningkat,
kawan semakin ramai,
samada mereka so-called agamawan,
dan mereka-mereka yang sempoi-sempoi.
Pelbagai jenis manusia,
cuba saya dampingi.

Satu masa,
saya cuba mendampingi mereka-mereka yang 'kuat' agamanya,
dengan harapan persoalan-persoalan dan kebingungan ini terjawab,
dan terusai.

Namun,
yang berlaku adalah sebaliknya.

Melihat tingkah laku mereka,
yang bertentangan dengan ilmu yang mereka punyai,
membuat saya semakin keliru,
dan semakin jenuh untuk mendalami agama.

Sembang lebat pasal Syi'ah,
tapi diri sendiri perangai 'tak kemana'.
Kutuk ideologi dan kekritisan Mu'tazilah,
tapi diri tetap malas membaca dan mencari hujah,
hanya tahu bertaqlid.
Gelak-gelak pada so-called Wahabi di khalayak ramai,
tapi diri sendiri pun tak amalkan apa yang Nabi ajar.

Apa yang diucapkan,
jelas bertentangan dengan apa yang diamalkan.

Saya semakin keliru,
dan perasaan saya terhadap so-called agamawan semakin menipis.

Namun,
saya tidak suka menjustifikasi semua agamawan seperti itu,
kerana saya tahu bukan semua seperti itu.
Pasti ada yang baik! Dan tersangat baik!

---------------------------------------

Untuk berjaya, harus membuat pilihan dan gerakan...

Maka,
saya mengambil keputusan,
untuk mempelajari lebih mendalam tentang agama Islam.
Untuk memahami dengan lebih jelas dan detail,
akan penciptaan saya ini.

Dan yang terlebih penting,
untuk menjawab satu persoalan krusial yang sentiasa bermain di minda saya:
Beribadah semata-semata kepada Allah itu, bagaimana dan kenapa?

Mungkin aneh disisi anda,
wahai si pembaca budiman.

Tapi,
itulah realitinya.

Hati saya tidak tenteram,
dek kerana persoalan-persoalan yang 'ajaib' ini.

Akhirnya,
dengan berkat kata-kata seorang ibu,
saya memilih jurusan ini,
jurusan Usuluddin.

Pertama,
bila saya menyatakan tentang jurusan ini,
manusia akan bertanya: Apa career untuk jurusan ini?

Saya tidak menjawab dengan yakin,
dan jika boleh,
saya hanya mahu mendiamkan diri,
dan berpaling dari mereka,
enggan menjawab.

Tapi,
jika terpaksa,
saya terkadang menjawab:
"Tidak ada mana. Kalau ada pun, mungkin Menteri Besar macam Tok Guru Nik Aziz?"

Dan terkadang jawapan-jawapan lain,
yang dirasakan sesuai pada waktu itu,
dan sesuai dengan si penanya.

Allahu a'lam.

-----------------------------------

Di hadapanku...

Dan saya menjejak kaki ke UIAM Gombak.
Mula berkuliah di kuliah Ilmu Wahyu,
dalam Department Usuluddin and Comparative Religion.

Sepanjang tempoh pembelajaran itu,
pelbagai jenis manusia yang saya jumpa.
Baik kawan seumur,
abang-abang senior,
adik-adik comel,
lecturer yang peramah dan berilmu,
hinggalah tukang cuci yang baik hati membersih tandas untuk kami.

Sepanjang tempoh itu,
saya belajar banyak perkara.
Daripada hal yang manis umpama gula melaka,
hinggalah hal yang pahit seperti panadol (eh?).

Dan banyak,
saya terkesan dengan itu semua.

Ada yang menjawab soalan-soalan saya,
dan ada yang menyebabkan persoalan di minda saya semakin bercambah.

Banyak sekali,
pengalaman yang diperolehi,
dalam proses,
mencari tujuan hidup ini...

--------------------------------

Satu hari...

Sehinggalah semalam,
dalam 2 kelas yang berlainan,
subjek Western Philosophy,
dan satu lagi Usuluddin 2,
banyak menjawab persoalan di minda.

Dalam kelas Usuluddin 2,
kami berbincang tentang Hari Akhirat.
Macam mana mahu melawan golongan falsafah,
yang tidak mempercayai akan kewujudan Kebangkitan di Hari Akhirat.

Perbincangan yang panjang,
akhirnya dipatah satu demi satu oleh cendekiawan Islam,
juga menggunakan ilmu Kalam,
yang lebih menjurus kepada perdebatan menggunakan akal,
tanpa Al-Qur'an dan As-Sunnah.

Saya diam.

Memerhatikan bait demi bait,
yang terpampang di papan skrin.
Membaca dan menganalisa setiap kata-kata ulamak silam.
Sambil mendengar ulasan dari Dr Majdan Alias,
menghuraikan kata-kata mereka itu.

Ada beberapa kata-kata falsafah itu,
pernah bermain di kepala saya.

Dan hari ini,
saya melihat bagaimana cendekiawan Islam menjawabnya,
dengan akal dan logik, serta falsafah.

Satu demi satu terjawab.
Hati saya semakin lapang,
setiap persoalan dijawab,
diri semakin ringan.
Minda semakin 'membesar'.

Sehinggalah habis cendekiawan Islam itu menjawab persoalan dari mereka yang menafikan wujudnya Hari Kebangkitan,
mereka membawa pula beberapa potong ayat Al-Qur'an.

Dan waktu itu,
saya terdiam.

Saya merasakan saya tidak pernah mendengar ayat itu.
Saya mengamati firman Allah itu,
dan saya tersebak.

Pertama kali dalam hidup saya,
ayat yang begitu ringkas itu,
sebenarnya adalah jawapan kepada persoalan saya selama ini.

Saya diam.

Tapi fikiran saya melayang jauh,
mengimbau masa-masa silam.
Kembali kepada persoalan-persoalan aneh yang pernah bermain di kepala saya.

Saya diam.

"Ya Allah, apakah yang aku mahukan lagi di dunia ini?"

Sepanjang penerokaan saya di dunia ini,
hanya untuk menjawab persoalan ini.

Dan sekarang,
ia sudah terjawab.
Walau saya masih memerlukan beberapa lagi pencerahan.

-----------------------------------

Antara aku dan kau!

Saya diam.

Tapi minda saya menjelajah ke seluruh dunia,
fikiran saya melayang ke satu hutan belantara.

Saya terlihat (baca: terbayang) satu kaum,
yang kita lebih kenali mereka dengan 'orang asli'.

Saya terlihat,
mereka bergelak tawa dengan senyuman yang menawan.

Hati saya tersenyum,
namun pada masa yang sama,
saya sedih...

Fikiran saya melayang lagi,
ke kawasana-kawasan so-called not Islamic countries.

Kesian pada mereka,
tidak memahami tujuan hidup.

Kesian pada mereka,
tidak kenal dengan baik siapa itu Allah.

Kesian pada mereka,
masih ragu-ragu tentang kewujudan hari Akhirat.

Kesian...

Dan minda saya melayang lagi,
ke komiti umat Islam,
yang sedang asyik dengan nikmat Islam,
sehingga leka dengan permasalahan ini,
dan menganggap diri mereka dah baik,
dan buat tak kisah pada 'saudara' yang not-yet Muslim.

Saya sedih.
Dan saya tetap diam.

Terbayang Hasan Al-Banna.
Dan saya mula memahami,
kenapa beliau setiap malam menangisi hal ehwal umat Islam,
bersama rakan seperjuangan beliau.

Saya tahu,
dia tentu berduka cita,
apabila melihat saudara-saudara mereka,
tidak buat apa yang Allah mahu.

Risau-risau,
di Akhirat nanti,
mereka tidak dapat merasai keindahan Syurga!

Takut-takut,
Allah mengambil nyawa mereka,
ketika mereka lalai dalam kemaksiatan.

Kerana saya tahu,
Hasan Al-Banna begitu cintakan mereka.

Semoga Allah merahmatimu!

-------------------------------------

A Step Forward!

Dan dunia ini,
tetap tidak akan berubah,
jika kita tahu dan kemudian diam.

TIDAK!

Dan sekali lagi, TIDAK!

Maka,
saya bertekad,
dengan kudrat yang Allah kurniakan pada saya,
untuk saya melakukan sesuatu.

Paling minimum,
membuatkan manusia sedar dan merasai,
seperti mana yang telah saya rasai.

Hati saya lapang,
namun masih risau dengan masa hadapan.

Risau,
kalau-kalau saya tidak mampu menyedarkan ummat!

Dan risau,
akan cara method yang terbaik untuk menceritakan ini semua kepada masyarakat!

Semoga Allah,
membantuku.
Dan semoga diriku,
tidak pernah lekang bertawakkal kepada Allah.

Ayuh!
Mari sama-sama melangkah,
tingkatkan kemampuan diri,
untuk memimpin masyarakat!

Semoga di Akhirat nanti,
kita SEMUA selamat!

insyaAllah.

"Adakah manusia mengira bahawa Kami tidak akan mengumpulkan (kembali) tulang-belulang mereka? Bahkan, Kami mampu menyusun (kembali) jari-jemari mereka dengan sempurna."

[Al-Qiyamah, 75: 3-4]

-------------------------------

Hidup Mulia atau Mati Syahid!
Saya tahu,
saya bukan yang terbaik.

Namun,
saya tetap mahu jadi yang terbaik di hadapan Allah!

Assalamu'alaikum.
"Saya adalah pemuji Allah"