Pages

Friday, January 15, 2016

Pakcik Izram & Aunty Yap

Bismillah.

9 Januari 2016 (sumber)

Pada 13 Januari,
Bertemu dengan Pakcik Izram di masjid Afzan.

Saya memanggilnya abang,
tetapi dia lebih mesra dipanggil pakcik.

Sembang pasal IKRAM dan politik semasa.
Tak sangka Pakcik Izram pernah mengikuti tarbiyyah ABIM.

Gembira,
dapat memperkenalkan diri bahawa saya mengikuti tarbiyyah IKRAM.

Dan pakcik Izram semacam teruja,
apabila diceritakan peranan IKRAM dalam mentarbiyyah masyarakat.

Sampai-sampai kami harus berhenti perbualan,
dek untuk menyambung urusan masing-masing.

Semoga terus thabat,
dan melaju.
InsyaAllah.

Pada 15 Januari pula,
Bertemu dengan Aunty Yap,
tika saya sibuk memasukkan baju ke dalam mesin basuh,
di belakang rumah sewa saya.

Juga bersembang pasal politik semasa,
dan Aunty Yap kata,
kita kena tukar pemimpin.

Saya terus sebut pasal Pakatan Harapan,
insyaAllah,

Aunty Yap senyum sahaja,
dan terus menyambung larian perlahannya.

Wallahu a'lam.

"Saya adalah pemuji Allah"

Wednesday, January 13, 2016

Membuka Imajinasi (2)

Bismillah.

Aku amat menyakini, permulaan kepada contengan kertas bermula dengan imajinasi. (sumber)

Kita masih ingat, ketika para sahabat dalam keadaan gelisah dalam kepungan Al-Ahzab, sang Rasul saw datang menghampiri sebongkah batu yang menghalang kerja-kerja pengalian lubang pertahanan. Dengan keadaan dua batu terikat di perut akibat kekurangan makanan, manusia yang mulia itu mengangkat 'penukul', lalu mengucap basmallah dan terus menghempapkannya ke atas bongkah batu itu.

"Allahu akbar!" Teriak sang Rasul saw. "Aku diberi kunci-kunci Syam. Demi Allah, aku benar-benar melihat istana-istananya yang berwarna merah saat ini."

Lalu beliau menghentam batu itu buat kedua kalinya pada bahagian yang lain. Teriak beliau, "Allahu akbar! Aku diberi tanah Persia. Demi Allah, saat ini pun aku boleh melihat istana Mada'in yang berwarna putih."

Buat kali ketiga, baginda saw mengangkat dan menyebut basmallah, dan menghayung ke arah batu sehinggah hancur. Kemudian baginda saw bertakbir, "Allahu akbar! Aku diberi kunci-kunci Yaman. Demi Allah, dari tempatku ini aku melihat pintu-pintu gerbang Sana'a."

Kita tertarik sekali dengan kisah ini. Ketika tentera Islam sedang dihimpit kelaparan dan kepungan dari 10,000 tentera bersekutu, ketika itu sang Rasul melalui petunjuk dari Tuhannya, memberi kata-kata inspirasi kepada semua. Bukan satu 'mimpi' masa depan untuk mengalahkan musuh-musuh Al-Ahzab, tetapi 'mimpi' memegang kunci-kunci istana. Bahkan bukan satu atau dua istana, tapi istana di tiga tempat yang berbeza-beza.

Dan lebih indah, visual yang dilihat oleh Sang Nabi saw ini sangat istimewa dan luar biasa, kerana baginda saw melihatnya dengan warna-warni. Sehingga saya terfikir bahwa memang imajinasi itu harus disertakan dengan keceriaan warna pelangi.

Peristiwa ini kita anggapkan, ketika kita dalam stress dalam dewan peperiksaan, terhimpit dengan soalan-soalan final exam yang tidak mampu untuk kita selesaikan. Maka, kita mengambil sehelai kertas kosong A4 yang berwarna putih. Kita mencapai sebatang pen biru jenama Stabilo. Terus kita menghayun pen itu diatas kertas suci, sehingga terbentuk lukisan-lukisan penghibur hati yang duka. Tika itu, kita mengukir imajinasi yang bermain dalam hati dan fikiran kita.

Kita lihat, mereka yang lagak mahu memecah angkasa biru, melakar roket NASA yang sedang berapi di bahagian bawahnya. Seolah-olah ia baru saja ingin berlepas ke ruang vakum angkasaraya.

Ahli muda muzik pula, mula mencatat-cata lirik lagu yang membasahkan jiwa-jiwa mereka. Sehingga tak hairan jika kita menemui rangkap lagu seumpama, "Apakah dosaku ~ hilang semua pembacaanku ~ jahannam engkau sang hantu ~ mendatangiku untuk mencelakanku". Walau sebenarnya, dia tak membaca pun. Haha...

Otaku anime dan online gamer pula, sibuk melukis wajah watak-watak kegemaran mereka. Silap-silap haribulan, kita akan berjumpa dengan Sailormoon bersama Ash sedang berpegang tangan. Hurmmmm....

Dan tak mustahil, pelajar yang terlebih kreatif, tiba-tiba mengambil kertas kosong itu, melipat-lipat dan apabila dibuka, terbentuklah seekor burung cilik. Walaweh...! (sempat pula orang ni berorigami dalam dewan exam. Aku pun confius)

Menconteng mencorak imajinasi, lebih stylo berbanding mengelamun Mat Jenin. (sumber)

Apa-apa pun, kita dapat memahami bahawa manusia akan terus bangkit melebar dengan membuka imajinasi mereka. Mereka tidak terus kaku. Tidak terus berpeluk tubuh kekecewaan, seperti hero yang kehilangan kuasa dan orang tersayang. Tidak berasa gentar. Bahkan mampu memberi inspirasi kepada orang lain pula.

Bukankah kita juga masih ingat, kisah Sang Rasul saw ditawarkan oleh Malaikat Jibril untuk menghempap bukit keatas rakyat Thoif disebabkan kejahatan yang telah mereka lakukan pada Sang Rasul saw? Namun, dalam duka dan tawaran sebegitu, Baginda saw membalas dengan penuh yakin:
" Bahkan aku berharap Allah mengeluarkan dari tulang sulbi mereka keturunan yang akan menyembah Allah semata dan tidak mempersekutu-Nya dengan apa pun. "
Rasulullah saw seumpama mengajar kita, bersabar itu bukannya menahan marah dalam keputus-asaan. Tapi, bersabar dan pada masa yang sama, meng-imajinasikan sesuatu yang besar dan magnificent. Bahkan imajinasi Sang Rasul saw ini, langsung tiada kepentingan peribadi secebis pun. Hanya semata-mata mengharap manusia menyembah Tuhan, bukannya mengharap lahirnya generasi yang akan memuji-mujinya.

Bagiku, ini adalah satu imajinasi first-class punya. Allahu akbar!!

(bersambung...)

Wallahu a'lam...

*rujukan kisah Ar-Rasul saw di medan Ahzab (klik)
*rujukan kisah Ar-Rasul saw berdoa untuk keturunan Thaif. (klik)

"Saya adalah pemuji Allah"

Tuesday, January 12, 2016

RR : Jangan Jadi Mancis

Bismillah.

(sumber)

Jangan jadi mancis.
Lembut, kecil, dan senang dipatahkan.

Kata engkau,
mancis membakar diri untuk ummah.

Kata aku,
hanya orang bodoh membakar diri.

Kalau mahu,
jadilah sehebat pelita.

Bercahaya dan menerangi kegelapan,
tanpa harus membakar diri.

Mencintai tidak bermakna engkau harus 'membunuh diri',
Namun cintamu pada ummah harus menjadikan dikau lebih berjiwa besar.

Jangan jadi mancis,
tapi jangan membenci mancis. :')


"Saya adalah pemuji Allah"

Monday, January 11, 2016

Meng-AlQur'an-kan Kehidupan : Pengaruh Al-Qur'an dalam Diri Nabi saw

Bismillah.

Melayang-layangkan kehidupan ke angkasa raya (sumber)

"Al-Qur'an jauh lebih dicintai Allah berbanding langit dan bumi serta seluruh isinya." kata Sang Nabi saw yang mulia. [1]

Pada tempat yang lain, baginda saw mengungkap, "Tiada kalam yang lebih agung daripada Kalam Allah, Tiada jawaban yang lebih dicintai Allah yang diungkapkan oleh hamba kepada-Nya selain jawaban dengan kalam-Nya." [2]

Dalam meniti dunia penghujung zaman,
elok sekiranya kita menyemak kehidupan kita secara Qur'ani.

Tika kita mempersiapkan diri untuk kemajuan duniawi,
kita tetap percaya bahwa Al-Qur'an adalah sumber kejayaan.

Sembari cinta kita secerah pelangi di ufuk timur,
sangat indah jika keceriaan kita berpusat dari Kalam Allah.

Maka,
suka saya memperingatkan diri dan semua,

tentang keharusan kita untuk meneliti dan menyemak,
seutuh mana keterikatan jiwa kita terhadap Al-Qur'an.

Jangan sampai kita mendabik dada bangga dengan ilmu kita,
tapi ternyata kita sebenarnya kosong dari cahaya Kalam Ilahi.

Bersumberkan dari buku "Agar Al-Qur'an Menjadi Teman" karya Dr. Majdi al-Hilali,
sukacita saya menulis kisah-kisah berkait dengan Al-Qur'an,

sebagai pelembut jiwa,
dan mengegar nafsu hingga mengalir air mata taqwa dan iman.

Dan saya namakan slot ini dengan,
"Meng-AlQur'an-kan Kehidupan".

------------------------

Tak terlukis perhatian dan kecintaan Nabi saw kepada Al-Qur'an. Akalnya Al-Qur'an, hatinya Al-Qur'an. Saking kuatnya pengaruh Al-Qur'an dalam dirinya, sampai-sampai kepala beliau beruban, Suatu hari Abu Bakar ra masuk ke rumah Nabi saw dan berkata, "Engkau beruban sebelum waktunya, Rasulullah!" Seraya menjelaskan alasan kenapa dirinya beruban, beliau berkata, "Itu kerana surah Hud dan yang sejenis." [3]

Pada lain waktu, beliau berkata kepada Abdullah ibn Mas'ud, "Bacakan Al-Qur'an untukku."

"Membacakan Al-Qur'an untukmu?! Bukankah ia diturunkan kepadamu?" Ibn Mas'ud balik bertanya.

"Aku ingin mendengarnya dari orang lain," kata Sang Rasul saw.

Ibn Mas'ud lalu membacakan surah al-Nisa'. "Cukup!" kata Rasulullah saw, ketika bacaan Abdullah ibn Mas'ud sampai di ayat "Maka, bagaimanakah (halnya orang kafir nanti) waktu Kami datangkan seorang saksi Rasul dari tiap-tiap umat, dan Kami datangkan kau (Muhammad) sebagai saksi atas mereka itu sebagai umatmu?" [4] Abdullah ibn Mas'ud kemudian memandang wajah Rasulullah saw yang kedua matanya berlinang air mata. [5]

Begitu sempurna jiwa Nabi saw terisi Kitab Suci, dan begitu kuat pengaruhnya, bahkan mencapai tingkat bahawa semua yang dicetuskan beliau tidak lain adalah hasil pemahaman dari Al-Qur'an.

Seluruh kandungan pesan Al-Qur'an terangkum dalam sosok peribadi Nabi saw, menjelma dalam perilaku beliau. Seolah-olah Al-Qur'an itu Nabi saw sendiri. "Sesungguhnya Allah menurunkan peringatan kepadamu, dengan mengutus seorang Rasul yang membacakan kepadamu ayat-ayat Allah yang menerangkan kebenaran..." [6]

Tak salah bila Nabi disebut Al-Qur'an berjalan. Itulah kenapa ketika ditanya tentang akhlaq Nabi saw, Aisyah menjawab ringkas, "Akhlaq beliau Al-Qur'an. Bersikap redha kerana redha-Nya, murka kerana murka-Nya." [7]

Wallahu a'lam.

"Saya adalah pemuji Allah"

[1] HR Al-Darimi no. 3358 (rujukan)
[2] HR Al-Darimi no. 3353 (rujukan)
[3] (rujukan 1) (rujukan 2)
[4] QS Al-Nisa', 4 : 41. (rujukan)
[5] Muttafaqun 'alaih (rujukan)
[6] QS Ath-Thalaq, 65 : 10-11 (rujukan)
[7] HR Abu Daud, Ibnu Majah, dan lain-lain (rujukan)

Friday, January 8, 2016

Fiqh : Kitab Thaharah (Jenis Air)

Bismillah.

(sumber)

Dalam dunia pen-tarbiyyah jiwa dan dakwah masyarakat,
dunia Fiqh tidak boleh diabaikan.

Tarbiyyah Dakwah tanpa perbincangan Fiqh,
adalah hal yang mengelirukan dan memalukan.

Bermula dari sini,
mari sama-sama kita belajar Fiqh yang asas.

Kita mulakan dengan Fiqh Thaharah,
yakni Fiqh Bersuci.

Namun,
saya akan mulakan dengan soalan-soalan untuk menguji ilmu kita.

Soalan Asas:

1. Apakah alat yang boleh digunakan untuk bersuci?

2. Berapakah pembahagian jenis air disisi para ulamak? Dan sebutkan.

3. Apakah yang dimaksudkan dengan air musta'mal?

4. Berapa besarkah ukuran dua kolah?

Jawapan :

1. Dua alat yang boleh digunakan untuk bersuci, yakni Air dan Tanah.

2. Ada tiga (3) jenis air.

Pertama, air yang suci dan menyucikan: Air yang suci zatnya dan boleh digunakan untuk bersuci seperti berwuduk, mandi wajib, dan kegunaan dalam urusan agama. Ia juga dipanggil air mutlak. Contoh: Air yang turun dari langit (hujan, salji) atau terpancar dari tanah (mata air, perigi).

Kedua, air yang suci tetapi tidak boleh mensucikan: Air yang suci zatnya yang boleh diminum dan diguna tujuan memasak, tetapi tidak boleh digunakan untuk menghilangkan najis atau dipakai untuk urusan agama. Contoh: Air musta'mal, air yang mendidih, air yang bercampur sesuatu (teh, susu), air yang bercampur dengan tumbuhan.

Ketiga, air mutanajjis: air yang terkena najis walaupun sedikit yang mengubah salah satu dari tiga sifat air, yakni warna, bau dan rasa.

3. Air musta'mal ialah air yang telah digunakan untuk menghilangkan hadas (termasuklah air lebihan wudu')

4. Antara pandangan tentang ukuran dua kolah adalah:

i) sekitar 12 shafihah (semacam baldi) -
ii) bersamaan 230 liter @ 13 tin minyak tanah / 270 liter @ 15 tin minyak tanah

Maka, untuk membina kolah, saiznya hendaklah:
i) Jika bulat : Luas 45 cm (1'6'') x Dalam 115 cm (3'9'')
ii) Jika segiempat : 57 cm x 57 cm x 57 cm (1'11'')

Rujukan : JAWI & sini

(sumber)

Beberapa perbincangan tambahan:

1. Dalil mengenai air mutlak yang suci lagi mensucikan.

"Dan Kami turunkan dari langit air yang bersih." (Al-Furqan, 25: 48)

"Dan Dia menurunkan ke atas kamu air dari langit untuk menyucikan kamu dengannya." (Al-Anfal, 8,11)

Hadis: baginda ditanya oleh sahabat tentang air laut. Maka baginda saw menjawab : "Airnya suci dan halal bangkainya" (sumber)

2. Ada pendapat mengatakan bahawa air musta'mal boleh digunakan untuk bersuci. Apakah dalilnya?

i) Bahawasanya Humran (bekas hamba Uthman) mengkhabarkan bahawa dia melihat Uthman bin Affan minta untuk diambilkan sebuah bekas (berisi air). Kemudian beliau menuangkan pada tapak tangannya tiga kali lalu membasuh keduanya. Kemudian beliau memasukkan tangan kanannya ke dalam bekas tersebut (mencedok air) lalu berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung, kemudian membasuh mukanya tiga kali, kemudian membasuh kedua tangannya sehingga ke siku tiga kali, kemudian mengusap kepala, kemudian membasuh kedua kakinya tiga kali hingga kedua mata kakinya. Setelah itu beliau berkata: "Rasulullah saw bersabda : sesiapa yang berwuduk seperti wudukku ini, kemudian dia solat dua rakaat dan tidak berbicara di antara keduanya, maka dosanya yang telah lalu akan diampunkan." (hr Bukhari) *rujukan tambahan*

ii) Abdullah bin Zaid pernah ditanya tentang wuduk Nabi saw. Lalu beliau minta diambilkan satu gayung air, beliau pun memperlihatkan kepada mereka cara wuduk Nabi saw. Beliau menuangkan air dari gayung ke telapak tangannya lalu mencucinya tiga kali, kemudian memasukkan tangannya ke dalam bekas mengambil air, beliau berkumur-kumur serta memasukkan air ke dalam hidung dengan air yang sama sebanyak tiga kali, kemudian memasukkan tangannya ke dalam bekas mengambil air lalu membasuh mukanya tiga kali dengan air yang sama... (sehingga selesai)" (hr Bukhari) *rujukan tambahan*

3. Dibolehkan digunapakai air yang terkena najis, jika air mencapai 2 kolah. Dan air itu tidak berubah sifatnya (warna, bau, rasa)

Dari Abdullah bin Umar, sesungguhnya Rasulullah saw bersabda : "Apabila air mencapai dua kolah maka air tersebut tidak mengandungi kotoran. Dan dalam satu riwayat: Tidak najis." (HR Imam Empat) *rujukan tambahan*

Dari Abu Umamah Al-Bahili r.a. beliau berkata, Rasulullah saw bersabda : "Sesungguhnya air tidak menjadi najis kecuali telah terjadi perubahan pada bau, rasa dan warnanya." (hr Ibnu Majah) *rujukan tambahan*

Ini adalah catatan ringkas mengenai jenis-jenis air.

Wallahu a'lam.


"Saya adalah pemuji Allah"
There was an error in this gadget