Pages

Friday, January 8, 2016

Fiqh : Kitab Thaharah (Jenis Air)

Bismillah.

(sumber)

Dalam dunia pen-tarbiyyah jiwa dan dakwah masyarakat,
dunia Fiqh tidak boleh diabaikan.

Tarbiyyah Dakwah tanpa perbincangan Fiqh,
adalah hal yang mengelirukan dan memalukan.

Bermula dari sini,
mari sama-sama kita belajar Fiqh yang asas.

Kita mulakan dengan Fiqh Thaharah,
yakni Fiqh Bersuci.

Namun,
saya akan mulakan dengan soalan-soalan untuk menguji ilmu kita.

Soalan Asas:

1. Apakah alat yang boleh digunakan untuk bersuci?

2. Berapakah pembahagian jenis air disisi para ulamak? Dan sebutkan.

3. Apakah yang dimaksudkan dengan air musta'mal?

4. Berapa besarkah ukuran dua kolah?

Jawapan :

1. Dua alat yang boleh digunakan untuk bersuci, yakni Air dan Tanah.

2. Ada tiga (3) jenis air.

Pertama, air yang suci dan menyucikan: Air yang suci zatnya dan boleh digunakan untuk bersuci seperti berwuduk, mandi wajib, dan kegunaan dalam urusan agama. Ia juga dipanggil air mutlak. Contoh: Air yang turun dari langit (hujan, salji) atau terpancar dari tanah (mata air, perigi).

Kedua, air yang suci tetapi tidak boleh mensucikan: Air yang suci zatnya yang boleh diminum dan diguna tujuan memasak, tetapi tidak boleh digunakan untuk menghilangkan najis atau dipakai untuk urusan agama. Contoh: Air musta'mal, air yang mendidih, air yang bercampur sesuatu (teh, susu), air yang bercampur dengan tumbuhan.

Ketiga, air mutanajjis: air yang terkena najis walaupun sedikit yang mengubah salah satu dari tiga sifat air, yakni warna, bau dan rasa.

3. Air musta'mal ialah air yang telah digunakan untuk menghilangkan hadas (termasuklah air lebihan wudu')

4. Antara pandangan tentang ukuran dua kolah adalah:

i) sekitar 12 shafihah (semacam baldi) -
ii) bersamaan 230 liter @ 13 tin minyak tanah / 270 liter @ 15 tin minyak tanah

Maka, untuk membina kolah, saiznya hendaklah:
i) Jika bulat : Luas 45 cm (1'6'') x Dalam 115 cm (3'9'')
ii) Jika segiempat : 57 cm x 57 cm x 57 cm (1'11'')

Rujukan : JAWI & sini

(sumber)

Beberapa perbincangan tambahan:

1. Dalil mengenai air mutlak yang suci lagi mensucikan.

"Dan Kami turunkan dari langit air yang bersih." (Al-Furqan, 25: 48)

"Dan Dia menurunkan ke atas kamu air dari langit untuk menyucikan kamu dengannya." (Al-Anfal, 8,11)

Hadis: baginda ditanya oleh sahabat tentang air laut. Maka baginda saw menjawab : "Airnya suci dan halal bangkainya" (sumber)

2. Ada pendapat mengatakan bahawa air musta'mal boleh digunakan untuk bersuci. Apakah dalilnya?

i) Bahawasanya Humran (bekas hamba Uthman) mengkhabarkan bahawa dia melihat Uthman bin Affan minta untuk diambilkan sebuah bekas (berisi air). Kemudian beliau menuangkan pada tapak tangannya tiga kali lalu membasuh keduanya. Kemudian beliau memasukkan tangan kanannya ke dalam bekas tersebut (mencedok air) lalu berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung, kemudian membasuh mukanya tiga kali, kemudian membasuh kedua tangannya sehingga ke siku tiga kali, kemudian mengusap kepala, kemudian membasuh kedua kakinya tiga kali hingga kedua mata kakinya. Setelah itu beliau berkata: "Rasulullah saw bersabda : sesiapa yang berwuduk seperti wudukku ini, kemudian dia solat dua rakaat dan tidak berbicara di antara keduanya, maka dosanya yang telah lalu akan diampunkan." (hr Bukhari) *rujukan tambahan*

ii) Abdullah bin Zaid pernah ditanya tentang wuduk Nabi saw. Lalu beliau minta diambilkan satu gayung air, beliau pun memperlihatkan kepada mereka cara wuduk Nabi saw. Beliau menuangkan air dari gayung ke telapak tangannya lalu mencucinya tiga kali, kemudian memasukkan tangannya ke dalam bekas mengambil air, beliau berkumur-kumur serta memasukkan air ke dalam hidung dengan air yang sama sebanyak tiga kali, kemudian memasukkan tangannya ke dalam bekas mengambil air lalu membasuh mukanya tiga kali dengan air yang sama... (sehingga selesai)" (hr Bukhari) *rujukan tambahan*

3. Dibolehkan digunapakai air yang terkena najis, jika air mencapai 2 kolah. Dan air itu tidak berubah sifatnya (warna, bau, rasa)

Dari Abdullah bin Umar, sesungguhnya Rasulullah saw bersabda : "Apabila air mencapai dua kolah maka air tersebut tidak mengandungi kotoran. Dan dalam satu riwayat: Tidak najis." (HR Imam Empat) *rujukan tambahan*

Dari Abu Umamah Al-Bahili r.a. beliau berkata, Rasulullah saw bersabda : "Sesungguhnya air tidak menjadi najis kecuali telah terjadi perubahan pada bau, rasa dan warnanya." (hr Ibnu Majah) *rujukan tambahan*

Ini adalah catatan ringkas mengenai jenis-jenis air.

Wallahu a'lam.


"Saya adalah pemuji Allah"

0 yang kongsi idea: