Pages

Monday, March 18, 2013

Fikrah: Ihfazillah Yahfazka

Assalamu'alaikum.


Hadis ini,
selalu bermain di telinga kita.

Kekadang,
kita melafazkan kepada teman seperjuangan.

Kekadang,
ia menjadi bekalan kekuatan untuk kita.

Kekadang,
kita mendengar orang lain menasihati kita dengan kalimat ini.

Sehingga kekadang,
kita begitu teruja dan bersemangat waja!

Dan terkadang,
kita merasa jemu dan bosan dengan kalimat ini,
dan terlepas cakap: "Itu aku tahu lah!"

Astagfirullah...

------------------------------


Apa bila disebut: ihfazillah, yahfazka.
Jagalah Allah, Allah akan menjagamu.

Dan yang datang pada minda 'separuh sedar' kita, 
amalan-amalan yang bersifat sufistik.

Dengan solat-solat nawafil,
Puasa sunat Isnin Khamis,
Tilawah Al-Qur'an sejuz sehari,
Qiamullail dikala manusia sedang nyenyak.
Dan macam-macam.

Dan disebabkan itu,
kita menjadi jemu dan malas,
untuk 'menjaga' Allah,
dengan alasan,
iman aku lemah dan aku tidak ada kekuatan untuk itu.

Habis, bagaimana aku ingin 'menjaga' Allah?
Sedangkan untuk buat itu dan ini,
aku amat lemah disebabkan kelemahan iman aku.

Akhirnya,
kalimat ihfazillah yahfazka menjadi satu kalimat,
yang tidak memberkas dalam hati dan jiwa nurani.

-------------------------------


Para pembaca,
ikhwah dan akhwat,
sister dan brothers tercinta.

Adakah anda juga mengalami hal yang sama?

Atau anda ada pandangan yang berbeza,
tentang ihfazillah yahfazka ini?

------------------------------------

Saya pernah terbaca tentang sikap ahli sufi yang sebenar,
yang pernah ditulis oleh Ustaz Pahrol Mohamad Juoi,
dalam blognya, genta-rasa.com.

Ustaz mengatakan bahawa ahli sufi yang paling hebat adalah Rasulullah!
Diikuti oleh para sahabat seperti Abu Bakar, Umar dan lain-lain.
Dan sikap mereka ini,
mempunyai kelainan dari so-called ahli sufi hari ini,
yang hanya mahu mengasingkan diri dari dunia dan manusia,
dalam rangka menyucikan diri dan bertaqarrub kepada Allah.

Apa bezanya?

Dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah,
Rasulullah dan para sahabat bukan sahaja bersimpuh berzikir di masjid,
tetapi mereka juga adalah teladan sebagai seorang bapa,
sebagai seorang pemimpin di medan perang,
mereka mengangkat pedang dan tombak,
melepaskan anak-anak panah yang berterbangan di udara,
mereka juga menghafaz dan menulis,
dan bersemangat berkongsi ilmu di kitab-kitab dan dada,
juga melakukan amar ma'ruf dan nahi mungkar di tengah masyarakat.

Mereka tidak beribadah kepada Allah,
semata-mata dengan cara beruzlah 24 jam di gua,
atau 'bertapa' di puncak gunung atau tepi laut.

Hidup mereka,
amat bermakna untuk diri mereka,
dan buat orang-orang sekeliling.

Nah,
itu dia ringkasan yang saya konklusikan,
dari tulisan ustaz Pahrol Mohamad Juoi.

Terima kasih ustaz,
atas pencerahan ini!

--------------------------------


Dan anda bertanya:
"Apa kaitan cerita di atas dengan topik kita tentang ihfazillah?"

Saya jawab:
Sabar dulu adik sayang. ^_^

Baik.
Sekarang saya akan berkongsi,
sebagai satu perenungan untuk kita bersama.

Apakah yang saya faham,
tentang ihfazillah yahfazka itu.

Pertama,
ingin saya menampilkan terjemahan beberapa ayat Allah.
Semoga terinspirasi.

"Sesungguhnya telah berjaya orang yang beriman. [1] (Iaitu) orang yang khusyuk dalam solatnya. [2] Dan orang yang menjauhkan diri daripada yang sia-sia. [3] Dan orang yang menunaikan zakat. [4] Dan orang yang menjaga kemaluannya. [5] Kecuali terhadap isterinya atau hambanya; maka tiadalah tercela. [6] Sesiapa mencari selain yang demikian itu, maka merekalah orang yang melampaui batas. [7] Dan orang yang memelihara amanah dan janjinya. [8] Dan orang yang memelihara solatnya. [9] Mereka itulah yang akan mewarisi, [10] Yang akan mewarisi syurga Firdaus.  Mereka kekal di dalamnya. [11]

[Al-Mu'minun, 23: 1-11]

Ya.
Petikan dari surah Al-Mu'minun.

Dalamnya,
terdapat beberapa ciri orang yang berjaya.

Dan anda tahu siapakah sebenarnya orang yang berjaya?

Mereka adalah orang yang mendapat pertolongan daripada Allah!
Tanpa pertolongan dan bantuan daripada Allah,
tidak akan ada orang yang akan berjaya!

Dan apakah ciri-ciri orang yang mendapat pertolongan Allah?
Sudah diterangkan oleh Allah sendiri,
dalam surah ini!

Maka,
anda bertanya lagi: "Jadi?"

------------------------------------


Melakukan amalan-amalan sufistik,
adalah sebahagian daripada ihfazillah.

Sebenarnya,
ihfazillah (Menjaga Allah) tidak sekadar amalan-amalan ritual ini.

Tidak cukup dengan solat-solat nawafil,
dengan puasa-puasa sunat,
dengan mentilawah Al-Qur'an,
dengan berqiamullail di hujung malam.

Tidak!

Tetapi,
ihfazillah juga merangkumi kehidupan kita,
samada berlandaskan ajaran Syariat yang benar,
atau hanya sekadar mengikut hawa nafsu serakah!

Ihfazillah,
padanya terkandung juga "Dan orang yang menjauhkan diri daripada yang sia-sia."
Mereka mempunyai sistem penjagaan masa yang baik,
menyibukkan diri dengan hal-hal bermanfaat,
dalam rangka menjauhi hal yang sia-sia,
menepati waktu dalam urusannya,
dan tidak tertangguh-tangguh dalam pekerjaannya,
samada dia berseorangan,
atau dia beramai-ramai! 

Ihfazillah,
juga mempunyai makna "Dan orang yang menunaikan zakat."
Mereka tahu kelebihan yang tersangat besar dalam menunaikan zakat.
Maka, mereka menabung,
mereka tidak membazir,
mereka berjimat-cermat,
mereka tidak suka meminta,
malahan mereka bersedia untuk memberi,
mereka tidak kedekut,
dan mereka tahu bahawa wang itu bukan miliknya,
tetapi ia adalah pemberian dari Tuhannya.
Dan mereka bersiap siaga,
suatu hari nanti,
aku akan menunaikan zakat!
Aku.... Mesti mempunyai wang!

Ihfazillah,
padanya juga mempunyai erti "Dan orang yang menjaga kemaluannya."
Mereka menjaga pandangan mata,
mereka tidak memandang wanita sebarangan,
apatah lagi bersembang dan bergelak tawa,
dan menjauhi wanita-wanita bukan mahram,
kerana mereka tahu bahawa mereka lemah,
hati mereka mudah tergoda dan terlalai,
oleh itu mereka berwaspada,
bukannya membenci,
mereka hanya mahu,
pandangan mereka suci,
dengan tidak memandang hal-hal yang jelek,
kerana mereka sedar,
Allah tahu apa yang mereka lakukan dan pandang!

Ihfazillah,
juga bermaksud "Dan orang yang memelihara amanah dan janjinya."
Mereka diberi amanah,
suka atau tidak,
mereka menjaga amanah itu sebaik-baiknya,
kerana mereka tahu,
bahawa manusia tidak akan dibebani sesuatu melebihi kemampuannya,
dan mereka sedar,
janji-janji yang mereka buat,
harus dilangsaikan dan ditunaikan,
kerana mereka akan ditanya,
dihadapan Allah kelak.

Dan ihfazillah,
boleh jadi ia bermakna "Dan orang yang memelihara solatnya."
Mereka menjaga ibadahnya,
dengan mengetahui cara melakukannya,
sepertiamana yang Nabi SAW lakukan,
mereka lakukan dengan penuh kesedaran,
oleh itu mereka tahu bahawa itu memerlukan ilmu,
maka mereka mencari ilmu sana sini,
bagi menambah baik mutu ibadah mereka,
mereka mahu,
ibadah mereka benar-benar diterima Allah!

-----------------------------


Jadi,
dengan elemen-elemen tersebut,
ditambah dengan yang paling penting,
yakni "orang yang khusyuk dalam solatnya."
sebenarnya ihfazillah itu mencakupi kehidupan kita seluruhnya!

Dan kerana itu,
untuk yahfazka (Allah menjagamu),
tidak cukup hanya dengan pengertian solat khusyuk,
dan ibadah sunat yang banyak dan pelbagai,
tapi pengurusan masanya sangat teruk,
dan perhubungan sesama manusia sangat jijik.

Supaya yahfazka,
kita hendaklah terlebih dahulu ihfazillah,
dengan segala macam aspek,
yang telah dinukilkan.
Dan apabila semua ciri-ciri itu lengkap,
maka Allah kata:
Mereka itulah yang akan mewarisi, [10] Yang akan mewarisi syurga Firdaus.  Mereka kekal di dalamnya. [11]

Allahu Akbar!

--------------------------------


Orang yang lemah dan kerdil,
melihat Islam dari ruang yang kecil.

Maka,
mereka kepenatan untuk ihfazillah,
dan akhirnya mencari sesuatu yang lain,
mungkin dari dunia Barat,
atau idea Sosialime.

Kerana mereka ingat,
ihfazillah itu terbatas pada satu bidang sahaja,
sehingga aspek-aspek kehidupan lain,
mereka abaikan.

Akhirnya,
hidup mereka tidak tenang,
kerana menganggap ada benda yang lebih besar,
daripada Islam itu sendiri,
dan lebih tinggi dan agung,
daripada ihfazillah.

Astaghfirullah.

-----------------------------

Akhir kata dari saya,
ihfazillah yahfazka.

Dan nasihat terakhir buat bersama:
Tidak semestinya apabila kita 'menjaga Allah', masalah kita akan hilang secara tiba-tiba. Tetapi, yakinlah dengan 'menjaga Allah', hati kita akan tenang walau keliling pinggang kita penuh dengan masalah. Dan ketenangan hati itulah, yang kita cari! Kan?


Assalamu'alaikum.

"Saya adalah pemuji Allah"

Monday, March 4, 2013

Cita-Cita Si Dia

Assalamu'alaikum.


Orang besar, selalu bercita-cita besar, dan luar biasa!

Apa cita-cita akh?

"Dalam masa empat tahun, sebelum aku keluar dari UIA ini, aku berharap untuk melihat saf solat Subuh di masjid ini mencapai sebanyak 10 saf. Dan akulah pencetusnya!"

Teriak dia, dengan penuh keazaman!

Assalamu'alaikum.
"Saya adalah pemuji Allah"