Pages

Tuesday, December 21, 2010

Hasil Bedahan Iklan: Astro Malaysia

Assalamu'alaikum.

Salam Sejahtera buat para pembaca blog,
yang moga-moga diRahmati Allah selalu hendaknya.


Entri kali ini akan membincangkan mengenai hasil bedahan iklan dalam entri yang lepas. rujuk sini.


Dalam iklan tersebut, pelbagai jenis iktibar dan pengajaran yang boleh dipetik dan direnungkan bersama. Berikut adalah hasil yang saya perolehi:

   1. Iklan Astro tersebut sedikit sebanyak telah menggambarkan kehidupan kita sebagai seorang manusia. Digambarkan suasana pekerjaan, juga ditunjukkan suasana perkahwinan, dan juga suasana bersosial dengan sahabat-sahabat baik, malahan ada juga babak-babak bersama dengan kawan yang nakal.

   Begitulah kehidupan manusia. Berkawan, Belajar, kemudian bekerja, seterusnya mendirikan rumah tangga. Kehidupan diteruskan dengan melahirkan anak, dan anak ini akan melalui proses yang sama. Berkawan, belajar, bekerja, berkahwin, melahirkan anak. Dan putaran terus berlaku, berputar pada paksi yang sama, sehingga apabila direnungkan seketika, kita akan dapat mengatakan: "Hidup ini amat memBOSANkan!"

   Tapi adakah orang benar-benar berIman seperti itu? Adakah mereka yang berIman juga mempunyai kehidupan seumpama itu? Berputar pada paksi yang sama, sama sekali tiada beza dengan kehidupan manusia biasa? Saya menjawab: TIDAK!

   Orang Islam yang betul-betul berIman, mereka tidak melakukan putaran kehidupan seperti itu. Kehidupan mereka bukan kerana untuk berkawan atau bersahabat. Mereka tidak hidup untuk terus-menerus berkhidmat dalam pembelajaran tanpa beramal dengan ilmunya. Juga mereka bukan menjadikan pekerjaan matlamat utama dalam kehidupan. Dan seterusnya bukannya perkahwinan yang diidami. Habis apa makna kehidupan seorang Muslim tanpa semua itu?

   Orang Muslim hidup kerana Allah. Berkawan kerana Allah. Belajar kerana Allah. Bekerja kerana Allah. Berkahwin kerana Allah. Semunya kerana Allah. Dan apabila semuanya kerana Allah, maka tiada putaran akan berlaku. Tetapi, apa yang tinggal ialah beberapa garisan yang menjalar menuju ke satu titik yang sama, dan akhirnya garisan-garisan ini akan bertemu.

   Titik pertemuan ini akan menghasilkan satu tenaga potensi, akibat daripada percantuman garisan kehidupan tadi. Tenaga yang dikumpulkan akhirnya diselerakkan dan ditaburkan ke kawasan sekeliling dengan maksud membawa kekuatan kepada kawasan sekeliling. "Sesiapa yang membantu (agama) Allah, nescaya Allah akan membantunya."

   Maka dengan itu, orang Muslim mereka tidak bergerak berputaran, yang hanya melakukan kehidupan untuk diri mereka semata-mata, tanpa memberi manafaat kepada kawasan tepian. Tetapi, mereka bergerak kehadapan, bergerak menuju ke titik pertemuan. Dengan kekuatan yang terhasil, mereka memberikan pula kebahagiaan dan kekuatan yang diperoleh kepada orang ramai, bukan untuk diri semata-mata. Dengan itu, semua dapat merasainya, "Agama Islam itu Rahmatal Lil'alamin (Rahmat untuk sekalian alam)." (Al-Qur'an)

'IBRAH: Bergeraklah menuju Allah.

--------------------------------


   2. Apakah dia agama Ah Keong, watak utama dalam iklan tersebut? Ramai yang akan mengatakan Buddha, saya fikir. Atau apa?

   Siapa dapat menyangka, keluar sahaja dari perut si ibu, kita terus didengarkan dengan alunan Adzan dan Iqamat yang menjadi tuntutan agama Islam? Siapa sangka keluarga kita semuanya penganut agama Islam yang beraliran Sunnah wal Jamaah? Siapa sangka kampung yang didiami dipenuhi dengan mereka yang beragama dan beraliran seperti kita, juga satu mazhab yang sama? Siapa sangka kita dilahirkan sebagai seorang Muslim?

   Kadang-kadang, nikmat sebegitu sering dilupakan. Menganggap diri sudah sebahagian dari ahli Syurga, dengan menganggap yang lain adalah ahli Neraka. Malahan, hati kita girang tidak terkata apabila melihat non-muslim kembali kepada fitrah asal dengan memeluk Islam. Pada masa yang sama, begitu benci dan meluat kita melihat orang Muslim yang murtad dari agama mereka.

   Tidak pernah ke kita bertanya, jika aku dilahirkan sebagai seorang Kristian atau Buddha atau mungkin Yahudi, mampukah kita meninggalkan 'agama' kita dan memeluk Islam? Bagaimana persepsi kita terhadap Islam jika kita sebagai seorang penganut agama Buddha? Apa reaksi kita terhadap konsep Islamophobia jika kita seorang rakyat Amerika berstatuskan Kristian? Dimana hati kita terhadap Islam kalau-kalau kita warga Israel? Dan bagaimana pula jika kita dilahirkan dalam keluarga Syiah?

   "Sungguh, hanya sedikit sahaja dari mereka yang bersyukur!" (Al-Qur'an)

"IBRAH: Sedikit sekali mereka yang bersyukur. Kita?

--------------------------------------


   3. "Adakah kamu ingat kamu akan dibiarkan berkata: Aku beriman. Walhal Kami (Allah) masih belum menguji kamu?" (Al-Qur'an). Setiap manusia itu akan diuji. PASTI! Yang tinggal itu bukan apa musibah yang melanda kita, tetapi bagaimana kita berurusan dengan musibah itu!

   Dalam iklan tersebut, apabila Ah Keong sudah hilang tempat untuk mengadu, akhir sekali dia menjerit meminta bantuan dari 'langit', dengan menjerit: Heaven!

   Sama seperti kita, jika kita perhatikan betul-betul. Di kala kita hidup dalam serba kemewahan dan kebahagiaan, susah dan amat jarang kita ingat kepada Allah, Si Pencipta Alam. Tetapi, sebaik tiba sahaja bencana dan musibah yang melanda diri, terus kita berpaling dan kembali mencari Si DIA. Ketika mana tiada lagi tempat untuk ditujui, keluarga sudah tidak menghiraukan diri, sahabat andai semuanya tidak mempercayai diri, orang ramai mula melaknat diri, maka kembalilah diri kepada Allah, menyedari Allahlah tempat sebaik-baik kembali.

   Di kala kehilangan kasih sayang, Allah adalah sebaik-baik penyayang. Ketika hati muram kesedihan, Allah adalah sehebat-hebat pemberi ketenangan. Pada saat tiada telinga lagi yang ingin mendengar bicara hati, Allah sedia menunggu rintihan daripada hamba-Nya.

   Manusia tidak kemana-mana. Mereka ingat mereka bergerak ke hadapan, dari hari ke hari mendabik dada mem'promosi'kan bakat diri yang semakin maju dan matang. Walhal, mereka hanya berputar pada satu bulatan yang sama. Apabila menyedari dirinya berada dalam bulatan, barulah mereka mula mencari keluar, untuk keluar dari bulatan itu. Dan ketahuilah dia bahawa tiada jalan keluar lain, melainkan jalan yang telah ditetapkan oleh Allah.

'IBRAH: Manusia mudah lupa siapa dirinya. Siapa mereka? Hamba Allah!

--------------------------------------------

   4. Rasulullah S.A.W pernah bersabda (mafhumnya) : "Hebat sekali mukmin itu. Apabila dia diuji, dia bersabar. Apabila dia diberi nikmat, dia bersyukur!"

   Sungguh, non-muslim itu tidak sama dengan Muslim. Lihat contoh pada Ah Keong. Ketika dia dicemuh, diejak, tidak dipedulikan, dikhianati, dia berada dalam dilema. Sedih yang teramat sangat. Sehingga dia merasakan dirinya tidak berguna lagi. Tiada nilai di sisi masyarakat.

   Tetapi, lihat pula ketika dia mendapat ilmu. Semua masyarakat kagum dengannya. Isterinya tidak lagi curang, malah menumpahkan sepenuh cintanya kepada Ah Keong. Si ayah tidak lagi marah-marah kepadanya, malah siap menepuk-nepuk lagi anaknya, tanda bangga. Pada akhir babak iklan, Ah Keong mengangkat tangan, seolah-olah terasa puas dengan apa yang dia capai. PUAS amat sangat!

   Muslim itu lain. Lebih-lebih lagi bila taraf meningkat menjadi seorang mukmin. Bila dia diuji dengan musibah dan ujian, dia kembali kepada Allah dan bermuhasabah. Melihat apa dosa yang telah dilakukan sehingga Allah menurunkan bala keatasnya. Mungkin kaffarah barangkali?

   Pada ketika dia menerima nikmat yang mengiurkan, dia hanya bertenang. Kembali kepada Allah dan bersyukur ke atas nikmat yang diperoleh. Juga dia akan berkongsi nikmat tersebut dengan mereka yang memerlukan. Islam itu agama Rahmat untuk alam.

'IBRAH: "Wahai orang yang beriman, bersujudlah kamu untuk berTAUBAT. dan bersujudlah kamu untuk berSYUKUR!"

-----------------------------------

Terdapat beberapa pengajaran lagi yang dapat dipetik, antaranya:

5. Kepentingan Ilmu. Knowledge makes your future richer!
6. Hidayah boleh jadi datang secara tiba-tiba. Jadi, janganlah anda menghina orang yang lemah!
7. Serangan pemikiran. Iklan tersebut memaparkan keizinan untuk bertatu.
8. Teknik jualan (dakwah) yang tidak betul. Sepatutnya Ah Keong keluar dari kedai jika mengetahui masalahnya mengenai ketinggian badan. Bukan hanya meloncat-loncat!
9. Tidak berputus asa. Terus dan terus berusaha hingga berjaya.
10. Kasih sayang antara elemen terpenting dalam kehidupan. Maka berilah ia kepada orang ramai!

Dan pengajaran secara direct yang boleh diambil ialah:

11. Belilah ASTRO untuk masa depan yang lebih baik!


Perkongsian.
Anda ada pengajaran lain?

Assalamu'alaikum
"Always remember ALLAH"

2 yang kongsi idea:

amin said...

Assalamualaikum,
Salam ziarah

Al-Mufakkir Hamidi said...

Wa'alakumussalam.

Ziarah la.