Pages

Friday, June 19, 2009

Kemalangan II - Penyedar Mimpi

Assalamualaikum.

Firman ALLAH S.W.T :



"Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)"
[Surah Al-Mulk : Ayat 2]

-------------------------------------------

18 Jun (Khamis)
Sama seperti semalam, saya ditugaskan untuk menghantar adik serta 3 orang yang sekampung dengan saya ke sekolah-sekolah mereka. Tapi, kali ini, mata saya agak berat sedikit untuk dibuka dan tenaga dalaman kira-kiranya tidak segagah semalam. Ini semua gara-gara kelewatan tidur pada malam sebelumnya.

Walaupun begitu, saya tetap menggagahi diri untuk memandu kereta. Perjalanan agak normal dan stabil pada awalnya walaupun kami bertolak sedikit lewat daripada kebiasaan. Perjalanan diteruskan. Kaset bacaan Al-Quran alunan Syed Ahmad Al-Ghamidi diputarkan dan dibiarkan beralunan di ruang legar kereta Iswara ini.

Keletihan kian terasa dan mata semakin kuyup saban minit. Sesekali sempat saya melelapkan mata ketika menunggu lampu merah bertukar hijau. Keadaan lebih parah apabila saya terlelap sekejap di Jalan Bayam (nota:jalan ini agak sesak sedikit kerana kesempitannya). Dalam sedar dan tak sedar itu, saya dibayangi sebuah kereta datang dari arah bertentangan memasuki laluan kereta saya. Sekelip mata, saya tersedar dan beristighfar. Sempat juga saya melafazkan lafaz syukur, Alhamdulillah.

Kemudian, saya meninggalkan adik saya berserta 2 orang sahabatnya di sekolah mereka. Tinggal seorang lagi penumpang. Perjalanan diteruskan. Beberapa tika kereta beredar meninggal sekolah adik saya, sekali lagi saya terpejam mata kerana keletihan. Dan sekali lagi bayangan sebuah kereta cuba merempuh dari arah bertentangan. Saya terjaga dan terkedu seketika. MasyaAllah!

Saya cuba mengeleng-ngelengkan kepala dan cuba memfokuskan minda pada alunan Ayat-ayat Suci Al-Quran yang bergema itu. Walaupun begitu, perasaan mengantuk masih lagi menguasai fikiran saya. Berkali-kali saya terlelap tanpa saya sedari, sehinggalah saya memandu di Jalan Pengkalan Chepa. Pada ketika itu, sekali lagi saya tertidur, dan tanpa saya sedari, tangan saya tersentak (rasanya) dan sejurus itu, kereta saya sedikit terbabas dan terkena divider (penghadang jalan di tengah). Dan berlakulah pertembungan antara kereta Iswara dengan divider jalan. Satu dentuman kuat kedengaran. Dengan sepantas kilat, saya membalas arah stereng kereta memasuki landasan yang asal.

Penumpang di belakang tersentak dari tempat duduk kerana terkejut 'sakan'. Hati yang tadi tenang dibuai mimpi yang indah tak indah, terus segar-bugar. Mata yang kuyup dan menyempit, terbeliak dibuatnya. Segala kedamaian dan ketenangan yang dikecapi, hilang serta-merta. Alunan Al-Quran tidak lagi dipedulikan (buat masa ini la). Hati terus berkecamuk. Debaran semakin terasa.

"Habislah kereta!" Itulah perkataan pertama yang muncul dari mulut hati saya. Perkara pertama yang bermain ligat dalam kepala saya ketika itu ialah tengkingan oleh Ayah yang disayangi. Ini dah masuk kali ke berapa kereta Iswara miliknya tercedera akibat kecuaian saya. Tapi, kali ini lebih teruk. Betul-betul berlanggar dengan divider yang menghasilkan pekikan suara kereta yang kuat. Seolah-olah mengaduh kesakitan. Nasib baiklah ada divider. Kalau tidak, sudah tentu kereta saya akan terbabas memasuki lorong yang bertentangan di kala traffik yang betul-betul sibuk ketika itu. Walaupun begitu, semuanya dalam perancangan ALLAH Yang Maha Mengatur.

Selepas selesai menghantar penumpang terakhir (yang masih berada dalam keadaan kaku itu...hehe), saya menuju ke masjid berhampiran, Masjid Muhammadi. Sebaik sahaja kereta itu selamat diparking, disemak dan diperiksa akan keadaan kereta. Alhamdulillah, kerosakkan yang dialami tidak seteruk seperti yang dibayangkan. Di kala itu, hati dan otak ini berada dalam keadaan hairan, bagaimana bunyi yang sekuat itu hanya meninggal calar-balar sahaja ? Beserta dengan sebilangan toresan pada badan dan tayar kereta? Walaupun begitu, mulut ini memanjang beristighfar dan bertahmid. Terima kasih, Ya ALLAH!





Selesai menunaikan beberapa perkara sunat di masjid yang disinggahi, saya kembali memandu. Sekarang, destinasi saya ialah rumah seorang kawan. Dalam masa itu, semua memori kembali menyinggah di benak fikiran saya. Terus terdetik di hati akan kenapa ini semua boleh terjadi? Pada masa yang sama, terdetik juga untuk berkongsi pengalaman yang mengerikan (tapi manis kerana sesuatu pengalaman itu tidak boleh dijual beli) bersama pembaca blog yang saya kasihi sekalian.


"HIDUP DI DUNIA, INSAN MUDAH ALPA DAN LEKA"

-----------------------------------

Nasihat dan pengajaran yang boleh dititik beratkan :-

1. Kekadang, kita tidak mengetahui apa yang bakal berlaku pada masa hadapan. Hanya ALLAH Yang Maha Mengetahui. Walaupun begitu, bagi sesetengah keadaan dan perkara, ALLAH memperlihatkan tanda-tanda akan berlakunya sesuatu. Contohnya tanda-tanda Hari Kiamat. Begitulah juga (pada hemah penulis sahaja) dengan bayangan 2 kereta yang hampir melanggar kereta penulis sebelum tercetusnya kemalangan tersebut. Jadi, apabila terlihatnya sesuatu yang tidak pernah kita alami, bersiap-sedialah. Mungkin ada sesuatu sudah tersedia untuk anda di hadapan sana. Bi iznillah.

2. Memandu dalam keadaan mengantuk boleh disamakan dengan keadaan seseorang yang sedang berjalan tanpa haluan. Ikut sahaja kaki hendak ke mana. Selagi mana bertenaga, selagi itulah kaki akan terus melangkah. Ya! Bila datangnya satu kemalangan (atau diertikan dengan ujian), perasaan mengantuk ini akan terus hilang. Begitulah dengan kaki yang tadinya berjalan tanpa arah tujuan, terhenti tiba-tiba. Umpama jatuh ke dalam lubang besar. Pabila tersedar diri berada dalam kegelapan (dalam lubang), diri akan berusaha untuk memanjat keluar dari lubang itu. Selepas berjaya, diri akan jadi lebih berwaspada. Kaki yang dahulunya dibiarkan berjalan tanpa panduan dan didikan, akan diberi perhatian. Agar tidak terjatuh lagi ke dalam lubang yang sama atau lubang yang lebih besar.
Ya! Beginilah ujian bertindak. Sebagai pemberi kesedaran kepada diri yang lalai dan sekali gus menjadikan diri lebih berwaspada pada masa mendatang.

3. Mangsa kemalangan kebanyakannya (bukan semua), akan merenung kembali, apakah kesilapan atau kelalaian yang telah dia lakukan sehingga tercetusnya kemalangan tersebut? Adakah dia memandu dengan laju? Atau berbual menggunakan telefon bimbit di kala kereta memecut laju? Atau sedang rancak berborak dengan rakan sebelah? Atau memandu dalam keadaan mengantuk? Ya! Apabila berlaku satu peristiwa buruk ke atas kita, kita akan merenung kembali salah dan silap kita. Itulah antara sebab musabab ALLAH menurunkan bala' dan musibah kepada hamba-hambaNya. Agar mereka kembali sedar akan dosa-dosa yang telah mereka lakukan dan segera insaf dan bertaubat. InsyaALLAH.
" BERHATI-HATILAH DI JALAN RAYA,
BERHATI-HATILAH DI DUNIA FANA"

Assalamualaikum.
"Always remember ALLAH"

2 yang kongsi idea:

Niji said...

nampaknya...
teruk jugak kerosakan kereta ayah dr. hamidi...
sy doakan dr hamidi selamat dan dipanjangkan umur..
semoga kemalangan ni menjadi yang terakhir bagi dr hamidi...

p/s: ayah dr hamidi marah tak? :)

Al-Mufakkir Hamidi said...

Syukran atas doa. Semoga kamu pun selamat dunia dan akhirat. Ameen...

p/s: xmarah seperti biasa. Sbb ada umi yang meredakan kemarahan ayah time tuh. Lagi pun, time tu time ayah ceria. So, xlah marah sangat.