Pages

Thursday, September 30, 2010

Apakah ini NATIJAH RAMADHAN? - Sheikh Rashidi

Assalamu'alaikum...

Salam Sejahtera untuk semua Muslimin, wa Muslimat,
Mukminin, wa Mukminat.


Hari ini,
urusan-urusan duniawi semakin surut,
Alhamdulillah.

Berikut adalah teks karangan sahabatku.
Jom kita renungi :







----------------------------------


Apakah ini NATIJAH RAMADHAN?
Oleh: Muhammad Rashidi bin Ab Hamid

Belumpun sebulan Ramadhan meninggalkan umat Muhammad saw, tetapi keadaan yang berlaku dalam kehidupan harian umat Muhammad saw seolah-olah ‘Madrasah Ramadhan’ tidak pernah singgah dalam kehidupan mereka.  Apakah ini natijah yang mereka peroleh setelah 30 hari berpuasa?  Apakah ini natijah “لعلكم تتقون” yang mereka peroleh dari ‘Madrasah Ramadhan’? Adakah mereka hanya berjaya menjadi hamba Ramadhan bukan hamba kepada Tuhan Ramadhan?

Di kesempatan yang ada, izinkan saya memberi peringatan buat diri yang tidak mungkin terlepas dari kealpaan serta para pencinta Allah swt sekalian.
Sabda Nabi saw sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:

«مَن صام رمضان ثم أتبعه بستةِ أيام من شوال كان كصيام الدهر»
أخرجه الإمام مسلم في صحيحه، من حديث أبي أيوب الأنصاري -رضي الله تعالى عنه- في كتاب: الصوم، باب: استحباب صيام ستة أيام من شوال اتباعًا لرمضان، رقم (1984) ت ط ع .

“Barangsiapa yang berpuasa sebulan ramadhan kemudian diikuti pula dengan berpuasa 6 hari dalam bulan Syawal, maka adalah ia seolah-olah berpuasa selama setahun”

Pada hemat saya, hadith ini merupakan suatu perkara yang tidak asing lagi meniti di bibir para ulama’ mahupun ustaz pada bulan Syawal ini. Persoalannya adakah kenapa Allah swt mewahyukan kepada nabi saw supaya menggalakkan umatnya agar melaksanakan puasa 6 hari di dalam bulan syawal (masyhur sabagai puasa 6) setelah kita berpenat-lelah puasa 30 hari dalam bulan Ramadhan? Mafhum dari gesaan atau galakan dari puasa 6 ini tidak lain dan tidak bukan adalah sebagai suatu isyarat supaya orang yang beriman meneruskan kegiatan amal-ibadahnya dalam kehidupan seharian sepertimana ibadah yang dikerjakannya dalam bulan ramadhan tersebut (solat jamaah, memperbanyakkan tilawah/tadarus al-Quran, zikir, sedekah, qiamullail dan sebagainya ) ke dalam bulan Syawal dan bulan-bulan yang seterusnya kerana di sanalah punca kekuatan umat Islam.

Pelik bin ajaibnya apabila ramai berpusu-pusu ke masjid pada awal ramadhan sehinggakan saya yang terlambat sampai ke tempat mengimamkan solat terawih terpaksa menunaikan solat ‘isya di luar surau tersebut beralaskan simen lembab-lembab basah lantaran kebanjiran jemaah yang datang walhal saya pernah solat ‘isya di surau tersebut beberapa hari sebelum tibanya bulan ramadhan namun jemaah yang hadir hanya beberapa orang cuma. Tidak terhenti pada perkara itu sahaja, banyak lagi perkara-perkara lain lagi pelik pada umat Islam akhir zaman yang Islamnya hanya pada nama ini. Ada yang hanya menutup aurat pada bulan Ramadhan. Ada juga yang bersedekah hanya pada bulan Ramadhan dan bermacam-macam lagi. Lebih teruknya,ada yang tak tahu pun yang adanya bulan Ramadhan. Astaghfirullahal ‘azhim.

Walaubagaimanapun, Allah swt memerintahkan kita agar menjadi hamba-Nya dimana, bulan apa,pukul berapa dan hari apa. Yang penting bagi seorang muslim adalah mentaati segala titah perintah Allah swt dan menjadikan program yang telah disediakan Allah swt ini sebagai wasilah untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah swt.

Malang dan hinalah bagi sesiapa yang dikurniakan Allah swt peluang untuk beribadah dalam bulan Ramadhan namun natijahnya adalah lebih teruk dari sebelum ia bertemu ramadhan. Sebaliknya beruntunglah bagi orang yang diberi peluang bertemu Ramadhan dan ianya berjaya menjadikan Ramadhan sebagai batu loncatan untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah swt. Semoga Allah swt menjadikan kita dalam kalangan orang-orang yang beruntung.

كونوا ربانيون ولا تكونوا رمضانيون لأن رمضان قد رحل ولكن الله حيّ لا يموت


Jadilah kita hamba kepada Tuhan yang menciptakan Ramadhan dan bukannya hamba kepada Ramadhan  kerana sesungguhnya ramadhan telah pun pergi sebaliknya Allah swt Zat kekal hidup dan tidak akan mati selamanya. Semoga Allah swt terus mengurniakan kita hidayah, taufiq dan rahmat-Nya. Kembalilah kepada fitrah insaani yang asasnya adalah menjadikan segalanya demi ibadah kepada Tuhan yang Maha Esa. *Kullu ‘Am wa Nahnu Ila Allahi Aqrab*  

----------------------------------

Assalamu'alaikum.
"Always remember ALLAH"

0 yang kongsi idea: